Thursday, September 4, 2014

KENAPA TTM?

Cadangan nama tadika yang dipilih ialah Tadika Tahfiz Muhammad. MUHAMMAD adalah nama istimewa yang dipilih bersempena dengan nama Rasulullah SAW yang bermaksud yang terpuji, dirahmati.

Selain itu, pemilik nama Muhammad adalah terdiri daripada ulama-ulama dan ahli-ahli fikir Islam yang hebat seperti Imam Syafie yang nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris yang mempunyai susur galur keturunan Rasulullah SAW pada sebelah datuknya, Abdul Manaf. Dilahirkan pada 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi di Gahazzah, Palestin.

Imam Syafie mahsyur dengan keperibadian dan kecerdikannya yang luar biasa. Beliau telah hafal Al-Quran seawal 7 tahun manakala diusia 12 tahun, beliau sudah mampu untuk menghafal kitab Al-Muwatta’ karangan Imam malik dan sudah mampu berfatwa ketika berumur 15 tahun.

Seorang lagi tokoh Islam ulung yang terkenal dengan jolokkan Sultan Muhammad Al-Fatih juga bernama Muhammad.

Rasulullah SAW pernah bersabda ketika menggali Parit Khandaq:
“…Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

Sultam Muhammad Al-Fatih adalah khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyyah yang nama sebenarnya Muhammad. Hebatnya sejarah hidup tokoh ulung ini bermula sejak 800 tahun sebelum kelahirannya. Beliau diberi gelaran Muhammad Al-Fatih kerana kejayaannya membebaskan Istanbul. Seawal usia 19 tahun, beliau sudah menaiki takhta dan mempimpin 25 kempen peperangan.

Dalam akademik, beliau adalah cendiakawan ulung yang fasih 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebre. Anak didik Shaikh Shamsuddin Al-Wali ini tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh.

Oleh yang demikian, kami berhajat untuk menamakan Tadika Tahfiz Muhammad. Manakala perkataan ‘tahfiz’ adalah untuk menggambarkan matlamat utama penubuhan tadika ini iaitu ‘Mendidik Pencinta Al-Quran’.

Wednesday, September 3, 2014

MATLAMAT TTM

Matlamat utama cadangan penubuhan Tadika Tahfiz Muhammad ini adalah untuk memberi tumpuan yang lebih kepada hafazan Al-Quran diusia kanak-kanak serta mempunyai lebih masa dan peluang untuk mempelajari ilmu-ilmu agama dengan lebih terperinci, disamping menekankan pendidikan akhlak melalui asas-asas ilmu akademik dan aktiviti sampingan yang mampu membina jiwa dewasa lebih pantas dari usianya serta bermanfaat untuk ummah.

Tadika Tahfiz Muhammad juga berhasrat untuk menjadi tadika rintis yang satu-satunya tadika yang memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang pendidikan kewangan melalui bidang keusahawanan serta tadika yang sangat menitik beratkan pemakanan yang bukan sahaja halal malah inshaAllah dijamin sihat (toyyibah).

Sukan sunnah seperti berenang juga antara mata pelajaran dalam kurikulum tambahan yang ditekankan dalam Tadika Tahfiz Muhammad. Sukan sunnah lainnya seperti berkuda dan memanah inshaAllah menjadi sebahagian sukan sunnah yang dihidupkan melalui aktiviti-aktiviti yang kami rancang seperti lawatan, hari sukan dan lain-lain.

Selain itu, penubuhan Tadika Tahfiz Muhammad ini juga adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat terhadap kehendak tadika yang memberi penekanan kepada hafazan Al-Quran seawal usia.

Tuesday, September 2, 2014

LATAR BELAKANG/PENGENALAN TTM

Islam menerapkan pendidikan sejak dari kecil. Justeru, amatlah rugilah kita jika hanya membiarkan anak-anak kecil begitu sahaja tanpa didikan dan tidak memenuhkan zaman kanak-kanak yang masih suci, kosong dan belum dibentuk lagi dengan hafazan Al-Quran dan Ilmu-ilmu Islam.

Seorang ulamak berkata:
“Ajarlah anak-anakmu dengan Al-Quran, sesungguhnya ia adalah ilmu pertama yang perlu dipelajari oleh Muslim.”

Malahan, para ilmuwan Islam yang hebat di zaman dahulu juga memulakan hidup mereka di zaman kanak-kanak dengan menghafaz Al-Quran dan memantapkan diri dengan ilmu agama dengan pada peringkat selepasnya.

Sejarah Islam menunjukkan ulama-ulama dan ahli-ahli fikir Islam seperti Imam Shafie diizinkan Allah untuk hafal Al-Quran seawal usia 7 tahun dan ada sesetengah riwayat, Imam Shafie telah hafal Al-Quran seawal usia 5 tahun. Beliau juga telah menghafal kitab Al-Muwatta’ ketika usia 11 tahun dan telah diminta untuk berfatwa ketika usia 15 tahun.

Demikianlah acuan yang membuat para ilmuan Islam hebat di masa lampau.